.Kemandulan oleh sebab kesekatan saluran fallopian
Saluran fallopian merupakan satu saluran penting dalam pembiakan. Melalui saluran inilah benih lelaki bergerak untuk menemui dan kemudiannya bercantum dengan ovum perempuan. Saluran ini tidak bertugas secara pasif malah ia bertindak secara aktif dengan saluran ini juga bertindak untuk menarik ovum dari ovari dengan daya tarikan kimo serta pergerakan rerambut pada dinding saluran tersebut.
Setelah percantuman benih lelaki dengan ovum berlaku serta menghasilkan satu embryo, saluran fallopian membekalkan bahan-bahan makanan serta menolong pergerakan embryo tersebut ke arah ruang rahim untuk menjalani proses implantasi.
Untuk menjayakan proses percantuman benih serta menghasilkan kehamilan, saluran fallopian perlu mempunyai bentuk normal. Jika sesuatu kelainan berlaku dan menyebabkan saluran itu tersekat atau tersumbat, maka tugas-tugas tersebut akan tergendala dan kehamilan akan gagal.
Sekatan di saluran fallopian disebabkan oleh beberapa perkara. Ia mungkin berlaku buat sementara sahaja kerana kuncupan (spasm), ataupun oleh sebab kesumbatan (blockage). Kuncupan atau spasm seringkali terdapat di kalangan wanita yang sentiasa nervous atau tegang suasana mentalnya. Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk jika wanita itu sangat-sangat ingin hamil tetapi telah hampa mencapainya setelah beberapa tahun.Kesumbatan saluran fallopian adalah lebih berat kerana ia merupakan suatu keadaan yang memerlukan rawatan khusus. Kesumbatan saluran boleh disebabkan oleh banyak perkara terutama penyakit jangkitan kuman. Jenis kuman yang sering menjangkit saluran fallopian ialah gonorrhoea, tibi dan kuman-kuman bakteria lain.
Jangkitan kuman ini seringkali didapati dari perhubungan seks terutamanya dari kalangan lelaki yang mengidap penyakit-penyakit tersebut. Jangkitan kuman mungkin juga berpunca dari appendix atau dari peraliran darah seperti penyakit tibi.
Kesumbatan saluran fallopian boleh juga timbul dari sesuatu penyakit tumbuhan dalam rahim atau ovari seperti tumbuhan fibroid atau endometriosis. Beberapa jenis penyakit dalam rahim yang lain boleh menimbulkan kesumbatan saluran dan tidak perlu dinyatakan kesemuanya di sini.
Cara-cara untuk menguji Patency Saluran Fallopian
Dalam penyiasatan kes mandul, penting bagi doktor untuk menentukan sama ada saluran fallopian itu terbuka atau tidak (ujian-ujian patency). Ujian-ujian ini boleh membezakan antara kesekatan yang disebabkan oleh kuncupan (spasm) dari kesumbatan (blockage).
Penilaian akan juga dilakukan untuk menentukan sama ada kesumbatan itu teruk atau tidak dan sama ada pembedahan untuk membetulkan kesumbatan boleh dilakukan atau tidak. Hakikat ini adalah penting apabila doktor menasihatkan penderita-penderita tentang pembedahan untuk membetulkan saluran fallopian.
(a)Insuflasi Saluran
Ujian ini dilakukan dengan meniup gas karbon dioksida ke dalam ruang rahim dan melalui saluran fallopian. Walaupun ujian ini boleh dilakkan tanpa bius, ia lebih sering dilakukan ke atas pesakit di bawah pengaruh bius. Ujian ini juga dilakukan serentak dengan D & Cdi mana secebis tisu dari selapurt endometrium diambil untuk dikaji.
Ujian ini dianggap kurang memuaskan untuk menentukan patency saluran fallopian kerana ia bergantung ke atas paras tekanan gas yang ditiupkan. Paras tekanan C02 ini dicatatkan pada carta graf. Kuncupan saluran (spasm) boleh menimbulkan satu keputusan yang mengelirukan. Walaupun kurang tepat, ia masih digunakan oleh setengah doktor kerana ia mudah dilakukan dan tidak membahayakan penderita dan ia biasanya dilakukan sebagai ujian peringkat awal dalam penyiasatan kes-kes mandul.
(b)Hysterosalpingografi
Ini adalah satu ujian X-ray yang istimewa di mana sejenis cecair khas diinjekkan ke dalam ruang rahim melalui pangkal rahim. Kemudian gambar X-ray diambil dan dari gambar ini doktor akan dapat mempastikan sama ada ruang rahim itu normal atau tidak, ataupun tertutup.
Oleh kerana ujian ini melibatkan pancaran X-ray, adalah penting bagi seseorang pesakit yang akan menjalani pemeriksaan ini mengetahui tarikh keluaran haid yang terakhir untuk mengelakkan bahangan X-ray terhadap kehamilan yang mungkin telah wujud pada ketika itu. Pada keseluruhannya, ujian ini adalah memuaskan tetapi kadang-kala terdapat keputusan yang mungkin mengelirukan seperti juga yang berlaku pada ujian insuflasi saluran. Jika pembedahan untuk membetul saluran fallopian dirancangkan, ujian X-ray mestilah dilakukan sebelumnya.
(c)Laparoscopy
Ini adalah satu ujian yang dianggap terbaik dalam penyiasatan ke atas seseorang penderita mandul. Bukan sahaja ia boleh menentukan sama ada saluran fallopian itu terbuka atau tertutup malah dengan ujian ini doktor dapat melihat dengan sendiri keadaan ovari, rahim dan juga alat-alat yang terlibat dalam proses pembiakan.
Dalam ujian ini pesakit perlu dimasukkan ke hospital selama 2 hari dan ubat bius diberikan. Satu alat teropong yang digelar Laparoscope akan dimasukkan ke dalam ruang perut menerusi satu incision di bawah pusat, setelah ruang itu diisi dengan gas karbon dioksida. Melalui teropong ini doktor dapat melihat dengan jelasnya semua perkakas-perkakas pembiakan. Ujian ini juga adalah sangat penting bagi menilai keadaan saluran fallopian sebelum doktor menjalankan sesuatu pembedahan untuk membetulkan kesumbatan yang mungkin berlaku pada saluran tersebut. Dalam ujian ini saluran fallopian itu terbuka cecair biru akan dapat dilihat dari teropong Laparoscope itu.
Rawatan Bagi Kesekatan Saluran Fallopian
Biasanya jika kesekatan berlaku hanya sementara oleh sebab kuncupan saluran itu (spasm), ujian-ujian tersebut di atas mungkin mempunyai nilai-nilai rawatan. Tegasnya setelah menjalani ujian-ujian tersebut didapati beberapa penderita telah berjaya mendapat kehamilan.
Jika kesekatan saluran disebabkan oleh sesuatu jenis penyakit seperti yang telah disebutkan di atas, rawatan yang lebih aktif adalah diperlukan. Rawatan ini biasanya memerlukan pembedahan unutk membetulkan kesumbatan yang berlaku pada saluran tersebut. Setelah ujian-ujian penilaian, tidak kesemua penderita akan didapati sesuai untuk menjalani pembedahan.
Biasanya sebelum saya menjalankan sesuatu pembedahan untuk membetulkan kesekatan pada saluran fallopian, saya berbincang dengan pesakit serta suaminya tentang beberapa aspek, terutamanya tentang kejayaan pembedahan tersebut.
Satu lagi aspek penting yang saya telitikan ialah tentang keadaan suami penderita sama ada ia subur atau tidak dan juga umur penderita wanita itu. Jika umur penderita wanita itu telah terlalu lanjut iaitu melebihi 40 tahun biasanya saya tidak cadangkan kepada pesakit itu tentang pembedahan tersebut, kerana hasil pembedahan pada umur tersebut sangat menghampakan. Jika kerosakan pada saluran terlalu teruk saya tidak akan cadangkan apa-apa jenis pembedahan.
Hydrotubation
Ini adalah satu cara di mana sejenis cecair yang mengandungi beberapa ramuan ubat (antibiotik),hydrorotisone dan hylase) akan diinjekkan ke dalam saluran fallopian melalui pangkal rahim. Biasanya saya lakukan tatacara ini di dalam wad tanpa memerlukan penderita itu dimasukkan ke hospital. Tujuan ini ialah untuk menyediakan penderita tersebut sebelum ia menjalani pembedahan untuk membetulkan kesumbatan pada saluran fallopian. Ianya sering juga saya lakukan sebagai rawatan susulan selepas pembedahan ke atas saluran fallopian.
Kadang-kala tatacara ini juga digunakan untuk merawat pesakit-pesakit di mana kesumbatan pada saluran fallopian tidak begti teruk dan mungkin boleh dirawat dengan secara injeksyen dengan cecair sahaja.
Pembedahan Untuk Membetulkan Saluran Fallopian
Adalah penting ditegaskan di sini bahawa hasil pembedahan untuk membetulkan kesumbatan pada saluran fallopian pada keseluruhannya memberi hasil yang kurang memuaskan. Purata kejayaan dari segi kehamilan selepas pembedahan adalah dalam lingkungan 20 hingga 30% sahaja. Peratus kejayaan pembedahan ini boleh diperbaiki jika pemilihan kes yang akan dibedah itu dilakukan dengan teliti dengan melakukan ujian-ujian yang saya sebutkan di atas.
Walaupun kejayaan ini tidak begitu menggalakkan namun jika saluran fallopian seseorang pesakit itu telah tersumbat rawatan yang khusus baginya ialah pembedahan dan tidak ada cara lain. Oleh itu pembedahan merupakan pemilihan yang terakhir bagi mereka ini.
Rumusan
Sebagai rumusan saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa ujian-ujian untuk menentukan sama ada saluran fallopian itu terbuka atau tidak adalah penting dilakukan ke atas semua pesakit mandul. (Kesumbatan saluran fallopian terdapat 20% dari kes-kes kemandulan perempuan). Rawatan dengan pembedahan pada ketika ini menghasilkan kejayaan yang kurang memuaskan. Walaupun demikian kemajuan untuk mengatasi masalah ini sedang giat dijalankan. Perkembangan terbaru dalam rawatan kesekatan saluran fallopian ialah persemaian di luar tubuh (in vitro fertilisation) dan embryo transplant. Ini adalah prinsip bagi bayi tabung uji atau test tube baby . Sekarang terdapat badan2 yang menaja pasangan-pasangan untuk melakukan IVF. BAdan-badan tersebut ialah Tengku Azizah Foundation Fund. Ia berjaya memberikan hasil yang memberangsangkan dengan kejayaan bayi-bayi yang lahir melalui kaedah ini.
Credit to http://www.hamidarshat.com.my/
No comments:
Post a Comment